Wednesday, 14 January 2009
ZURICH - Anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA 2008 menjadi milik Cristiano Ronaldo.
Ia pilihan paling tepat berdasarkan prestasi luar biasa yang dipamerkan sepanjang musim lalu.
Kejayaannya meraih gelaran paling berprestij itu membolehkannya menyapu bersih semua anugerah utama sepanjang 2008.
Pemain sayap berusia 23 tahun dari Portugal itu dipilih berdasarkan aksi cemerlangnya mendominasi setiap perlawanan serta menjaringkan gol-gol menarik untuk membantu Manchester United memenangi gelaran Liga Perdana England dan Liga Juara- Juara Eropah musim lalu.
KOLEKSI anugerah yang diraih oleh Ronaldo sepanjang musim lepas. Dari kiri: Pemain Terbaik Kelab Eropah, Pemain Terbaik Dunia FIFPro, Kasut Emas Eropah, Pemain Terbaik Eropah dan Pemain Terbaik Dunia FIFA yang dimenanginya kelmarin.
*********************************************************************
Ronaldo menerima 136 undian untuk muncul pemenang dan mengumpul 935 mata daripada undian yang dilakukan jurulatih dan ketua pasukan kebangsaan seluruh dunia.
"Ini detik terbesar dan paling istimewa dalam hidup saya. Ingin saya katakan kepada ibu dan kakak saya, debaran anda boleh berakhir kini," katanya ketika berucap pada majlis anugerah tersebut malam kelmarin.
Keputusan pemenang telah diumumkan legenda bola sepak Brazil, Pele pada satu majlis di Zurich.
Pemain tengah Barcelona dari Argentina, Lionel Messi muncul pemenang kedua dengan 678 mata diikuti penyerang Liverpool, Fernando Torres di tempat ketiga dengan 203 mata.
Pemain wanita Brazil, Marta pula diumum Pemain Terbaik Dunia Wanita FIFA 2008.
Ronaldo menjadi pemain pertama daripada Liga Perdana England yang dipilih memenangi anugerah itu sepanjang 18 tahun sejarah pemilihannya setelah berjaya menjaringkan 42 gol dalam semua kejohanan musim lalu.
Ronaldo memang sudah dijangka akan memenangi anugerah itu berdasarkan kejayaannya dinobat sebagai Pemain Terbaik Eropah 2008 dan juga Pemain Terbaik Majalah Sukan Dunia 2009 sebelum ini.
Perancang AC Milan, Kaka yang juga pemenang anugerah itu tahun lalu bersama pemain tengah Barcelona, Xavi Hernandez turut berada dalam senarai lima pencalonan akhir bagi anugerah tersebut.
Ronaldo menjadi pemain Portugal kedua yang memenangi anugerah itu selepas Luis Figo memenanginya pada 2001.
"Ia seperti mimpi bagi saya untuk memenangi anugerah ini kerana saya mahu membawa pasukan saya dan juga negara saya lebih cemerlang pada masa hadapan," ujar Ronaldo.
Sebelum majlis anugerah itu, Ronaldo sempat memberikan penghargaan kepada pengurus United, Alex Ferguson dan bekas jurulatih Portugal, Luiz Felipe Scolari yang telah banyak membantu dalam mencapai impiannya.
Mengimbas perjalanan bola sepak Ronaldo, dia mula aktif sejak berusia lapan tahun.
Pada usia tersebut dia sudah beraksi dengan kelab amatur, Andorinha, kelab tempat bapanya bertugas sebagai kitman.
Walaupun masih muda, tetapi dia telah mempamerkan bakat agak luar biasa, malah beraksi seperti pemain yang lebih senior daripadanya.
Nama penuhnya ialah Cristiano Ronaldo dos Santos Aveiro dan dilahirkan pada 5 Februari 1985 di Pulau Madeira, Portugal.
Pada usia 10 tahun, dia dipikat pula oleh kelab CD Nacional dan dari situ perjalanan karier bola sepaknya terus bersinar.
Setahun kemudian, dia mencipta sejarah apabila dilamar oleh kelab terbesar di Portugal ketika itu, Sporting Lisbon dan diserapkan dalam skuad remaja.
Pada usia 14 tahun pula diserapkan dalam skuad utama dan diberi peluang beraksi ketika menentang Moreirense dalam saingan LigaPortugal.
Menariknya, dia tidak memperlihatkan sebarang perasaan gugup walaupun beraksi dengan pemain senior, malah telah menjaringkan dua gol pada perlawanan tersebut.
Karier bola sepaknya terus mendapat perhatian dunia khususnya di Eropah sehingga pada 2001 ketika usianya mencecah 16 tahun, dia hampir dilamar oleh pengurus Liverpool , Gerard Houllier tetapi kelab England itu enggan mengambilnya kerana menganggap dia terlalu muda dan memerlukan masa untuk meningkatkan kemahirannya.
Pada usia 17 tahun, Ronaldo sudah bergelar bintang dan menjadi tonggak utama Sporting Lisbon dalam saingan liga tempatan.
Bermula daripada detik tersebut, namanya terus berada di puncak lebih-lebih lagi selepas menyertai Manchester United pada 2003.
Penampilan sulungnya bersama United sebagai pemain gantian ialah ketika kelab barunya itu menewaskan Bolton 4-0 di Old Traf- ford.
Dia menjaringkan gol pertama untuk United pada 1 November ketika menewaskan Portsmouth di gelanggang sendiri.
Pada peringkat antarabangsa, kelibatnya memang menakjubkan.
Larian serta sepakan sering mengundang gerun kepada pemain lawan.
Hari ini, kerja kerasnya sejak berusia lapan tahun telah membuahkan hasil dan pengorbanannya selama ini telah membuktikan bahawa ia bukan sesuatu yang sia- sia.
Satu dunia mengaguminya dan buktinya adalah anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA.
Labels: cr7
Wednesday, 3 December 2008
GAMBAR kombo ini (dari kiri) merakamkan detik ketika Ronaldo meraih anugerah selaku Pemain Terbaik Dunia FIFPro, Pemain Terbaik Kelab Eropah dan Kasut Emas Eropah.
PARIS - Bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo ditabal Pemain Terbaik Eropah 2008 semalam, sekali gus membolehkannya meraih anugerah Bola Emas.
Kejayaan Ronaldo menggondol anugerah tersebut pasti menghampakan penyerang muda Barcelona, Lionel Messi yang sekadar berada di tempat kedua.
Manakala penyerang sensasi Liverpool, Fernando Torres di tempat ketiga berdasarkan undian yang dilakukan oleh majalah France Football.
"Ini adalah salah satu daripada hari yang terhebat dalam hidup saya," kata Ronaldo yang dipetik daripada majalah France Football.
"Saya telah mengimpikan untuk memenangi trofi ini sejak kecil lagi.
"Sesiapa yang mengenali saya... yang tinggal bersama saya, mengetahui bahawa ini ibarat mimpi yang menjadi satu kenyataan."
Berdasarkan undian yang dibuat di kala- ngan wartawan-wartawan sukan bola sepak, Ronaldo ternyata unggul apabila meraih 446 mata diikuti Messi (281) dan Torres (179).
Jumlah undian yang diperoleh Ronaldo itu hanya dua mata melebihi undian yang diterima perancang AC Milan, Kaka ketika me- menangi anugerah yang sama tahun lalu.
Ketika itu, Ronaldo sekadar berada di tempat kedua apabila meraih 277 mata, manakala Messi di tempat ketiga dengan 255 mata.
"Saya hanya baru berusia 23 tahun dan ia sungguh menakjubkan (apabila meraih anuge- rah ini).
"Sukar untuk dipercayai. Ia dianggap lebih baik berbanding beberapa nama besar yang bersaing (bagi merebut anugerah ini)," kata Ronaldo.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukannya sambil berkata: "Saya berharap untuk memenangi anugerah ini sekali lagi."
Untuk rekod, Ronaldo menjadi pemain keempat United yang memenangi anugerah ini selepas kali pertama diraih George Best pada tahun 1968.
Ronaldo menyumbang 42 gol dalam semua pertandingan musim lalu yang turut menyaksikan dia membantu United muncul juara Liga Perdana England serta Liga Juara-Juara.
Terdahulu, Ronaldo telah meraih dipilih sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFPro selain menggondol anugerah Kasut Emas Eropah dan Pemain Terbaik Kelab Eropah.
Dengan dipilih sebagai Pemain Terbaik Eropah, Ronaldo juga muncul pemain pertama yang beraksi pada kempen Liga Perdana England meraih anugerah tersebut selepas bekas penyerang Liverpool, Michael Owen melaku- kannya pada tahun 2001.
Dia juga muncul pemain ketiga Portugal me- raih anugerah itu selepas Eusebio pada tahun 1965 dan Luis Figo (2001). - Reuters
Labels: cr7
